Wednesday 23 November 2011

jom bercerita!!!


JANGAN SIA-SIAKAN BAKAT SAUDARA

KISAH SI UNTA
Terdapat dua unta sedang berehat. Ibu unta dan anaknya. Sejak daripada pagi lagi wajah anak si unta kelihatan muram. Melihat anaknya yang kelihatan sugul, si ibu unta pun bertanya kepada  anaknya,
“ Anakku, ibu lihat kamu kelihatan sedih sahaja. Apa yang mengganggu fikiranmu? Adakah masalah matematik yang tidak dapat diselesaikan ataupun kamu ditinggalkan oleh teman wanita?”
“ Bukan itu sebabnya ibu. Saya sedang berfikir beberapa soalan. Persoalan ini mengganggu fikiran saya sejak sekian lama, “ balas anak unta itu.
“ Sebutlah, mungkin ibu ada jawapan bagi persoalan yang tidak terjawab itu,” kata si ibu unta mahu membantu.
“ Begini ibu, saya hairan. Apakah kegunaan bonggol pada badan kita ini,” Tanya anak unta.
“ Itu mudah sahaja anakku. Bonggol di atas badan kita digunakan bagi mengisi air. Dengan bonggol ini kita dapat bertahan lebih lama di gurun tanpa air berbanding makhluk lain,” kata ibu si unta dengan bangga.
“Bagaimana pula dengan kaki kita yang kurus dan panjang ini?”
“ Kaki kita yang kurus dan panjang ini banyak kelebihannnya. Dengan kaki ini kita dapat berjalan dengan lebih mudah di padang pasir.”
“ Mengapa kita mempunyai bulu mata yang panjang dan tebal?”
“Bukankah di padang pasir angin bertiup kencang. Bulu mata yang panjang dan tebal ini bagi mengelakkan pasir daripada masuk ke dalam mata,” jelas si ibu unta dengan bangga sambil mengerlip matanya berulang-kali.
“Baru saya faham. Bonggol kita digunakan bagi menyimpan air ketika  di padang pasir. Kaki kita yang panjang dan kurus pula memudahkan pergerakan kita di padang pasir. Manakala bulu mata kita yang panjang dan tebal pula bagi mengelakkan pasir daripada masuk  ke mata ketika  di padang pasir. Persoalannya, mengapa kita berada di zoo?”

Moral yang terdapat dalam cerita ini sungguh menarik. Kelebihan yang ada belum tentu menjamin kejayaan.  Contohnya daripada kisah ini, walaupun si ibu unta begitu bangga dengan kelebihan yang terdapat pada diri mereka, namun begitu kelebihan itu tidak berguna sahaja kerana mereka hidup di zoo dan  bukan  di padang pasir. Kelebihan yang ada tidak dapat digunakan.
Bayangkan saudara bekerja sebagai pemotong pokok kayu balak. Saudara mempunyai gergaji yang canggih, tetapi jika saudara tidak menggunakannya dan sebaliknya sekadar menggunakan kapak, maka gergaji canggih itu menjadi sia-sia sahaja. Kelebihan yang ada perlu digunakan dengan sebaiknya.
Paling penting, bakat yang ada pada kita. Walaupun saudara dilahirkan berbakat seperti Michaelangelo ataupun Picasso, tetapi jika ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin, tidak terhasil karya-karya agung yang bernilai jutaan ringgit jika saudara tidak mengambil berus dan melukis. 

Walaupun saudara dilahirkan dengan bakat dan kemahiran bijak mencipta sesuatu seperti  Thomas Edison, tidak ada gunanya jika saudara hanya sekadar menggoyang kaki di kerusi malas. Dengan menyedari  bakat yang ada pada saudara dan menggunakan pada jalan yang betul, maka terhasil sesuatu yang hebat.

Tiada apa yang hebat melainkan sesuatu yang hebat digunakan pada tempat sepatutnya.








Tahukah Anda???


Tahukah Saudara?
·         Tahukah saudara yang semua kita dikurniakan bakat dan kelebihan semula jadi?
·         Tahukah saudara yang bakat  semula jadi jika tidak dibangunkan secara sedar, ada kemungkinan bakat itu boleh terbiar dan terpendam dalam diri saudara sampai bila-bila?
·         Tahukah saudara, bakat dan kelebihan semula jadi saudara, jika dibangunkan secara sistematik bakal menjadi sumber kejayaan, kecemerlangan da keseronokan dalam  hidup.
·         Tahukah saudara, jika bakat seseorang dibangunkan dengan ilmu, kemahiran dan persekitaran yang baik, ia adalah pengalaman belajar yang paling berkesan dan kekal dalam hidup seseorang?

Apakah Itu Bakat?
·         Keupayaan atau kemampuan  semula jadi. Ia adalah satu bentuk berfikir, perasaan ataupun perilaku yang mampu membuat sesuatu aktiviti berhasil apabila diaplikasikan. Jika saudara seorang yang  bijak bergaul, ia adalah bakat. Jika saudara berkebolehan belajar sesuatu pelajaran dengan mudah, itu adalah bakat. Jika saudara seorang yang pandai menyanyi, itu juga adalah bakat. Tidak kira apa pun paten perilaku ataupun pemikiran saudara, ia adalah bakat jika perkara itu mampu  menghasilkan sesuatu yang produktif.
·         Bagaimana dengan perilaku negative, adakah ia juga bakat? Jawapannya adalah, YA. Selagi ia mampu membantu saudara menghasilkan  kerja  dengan produktif, ia adalah bakat. Contohnya seperti sifat degil. Ia juga adalah bakat. Walaupun ia kelihatan negative tetapi ia satu anugerah apabila digunakan dengan betul. Bakat itu dapat membantu saudara supaya sentiasa cekal dan ‘degil’ bagi mencapai sesuatu.

Tuesday 22 November 2011

PERSEDIAAN MENEMPUH ALAM KERJAYA

PERSEDIAAN MENEMPUH ALAM KERJAYA

KRITERIA UNTUK MENDAPATKAN KERJA

* Memiliki sikap yang sesuai
* Berdisiplin
* Berfikiran matang
* Mampu membuat keputusan yang betul
* Berkomitmen
* Mampu untuk berkomunikasi dengan berkesan
* Boleh bekerja dalam kumpulan
* Sentiasa mencari peluang untuk berubah, berkembang & meningkat

10 PERSEDIAAN GRADUAN UNTUK MENEMPUH
ALAM PEKERJAAN

Temuduga

Semasa temuduga :
- menjawab soalan dengan tenang, jelas & tepat
- minta penjelasan sekiranya tidak faham
- jangan bercakap melebihi & sesuatu yang tidak penting atau relevan
- nyatakan kelayakkan & kelulusan yang sebenar

Minat & bakat

>minat
- apa yang disukai atau digemari tentang sesuatu perkara
- minat boleh berubah disebabkan oleh factor tertentu seperti pulangan ekonomi, suasana tempat kerja, motivasi kerja & sebagainya.

>bakat
– kebolehan semulajadi yang dimiliki oleh individu


Penglibatan Dalam Persatuan & Aktiviti Kokurikulum

> membantu memperkembangan potensi individu
> pengalaman yang diperolehi melalui penyertaan aktiviti boleh diaplikasikan semasa bekerja.

Maklumat Situasi Sebenar Alam Pekerjaan

> mengetahui skop, bidang & tanggungjawab terhadap jawatan yang disandang serta dalam menyempurnakan tugas yang diamanahkan
> mengasah kemahiran interpersonal untuk bekerja dengan rakan sekerja, majikan dan sebagainya

Resume

> perlulah kemas, ringkas & padat
> gunakan perkataan yang mudah dan pastikan tiada sebarang kesilapan ejaan atau tatabahasa
> jangan melipat resume & gunakan sampul surat yang lebih besar dari resume
> resume yang baik mengandungi :
-maklumat peribadi ( termasuk gambar )
-maklumat pendidikan
-pengalaman bekerja
-kemahiran khusus
-hobi/kegemaran
-nama & alamat penyokong (references)

Mendapatkan Maklumat Pekejaan Melalui:

* bengkel atau program yang dianjurkan oleh unit kaunseling
* pendidikan kerjaya
* lawatan ke tempat kerja
* katalog-katalog mengenai pekerjaan
* pameran kerjaya
* surat khabar & internet

Bermaklumat

Bermaklumat tentang :
* bahasa-perlu tahu lebih dari 1 bahasa & menguasai tulisan serta berkomunikasi dengan baik
* isu semasa berkaitan dengan pekerjaan
* syarat-syarat yang ditetapkan untuk pekerjaan tersebut
* mengetahui tentang bidang tugas yang dilakukan

Kemahiran

Antara kemahiran yang perlu ada :
1) kemahiran insaniah (soft skill )
2) kemahiran ICT
3) kemahiran kreativiti
4) kemahiran berkomunikasi
5) kemahiran berfikiran kritis & menyelesaikan masalah
6) kemahiran kerja berpasukan
7) kemahiran kepimpinan

Rujukan:
http://cncg.unisel.edu.my/index.php?option=com_rokdownloads&view=file&task=download&id=35%3Apersediaan-menempuh-alam-pekerjaan&Itemid=65

Tatacara Temuduga

Tatacara Temuduga



Dah lihat sedikit montaj mengenai tatacara temuduga?
Berikut merupakan beberapa tips untuk anda yang akan menghadapi temuduga : 

Tatacara Semasa Ditemuduga

  1. Semasa hendak masuk ke bilik temuduga JANGANLAH gentar. Buatlah seperti biasa saja. Ucapkan “Selamat Pagi” atau “Selamat Petang” mengikut pada keadaan waktu. Ini nanti akan memberi perasaan mesra di antara anda dan penemuduga.
  2. Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga itu tidak berbuat gerakan dahulu yang ianya hendak berbuat demikian.
  3. Janganlah anda duduk selagi tidak disuruh. Apabila anda disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Jangan menggelisah.
  4. Jangan anda letakkan barang-barang atau tangan ataupun siku anda di atas meja penemuduga itu.
  5. Jangan anda cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan itu.
  6. Jangan goyang-goyangkan kaki ataupun menggerakkannya di sana sini. Jangan pula anda cuba hendak membaca surat-surat dan lain-lain kertas di atas meja penemuduga itu.
  7. Biarkan penemuduga itu memulakan temuduga.
  8. Janganlah anda menjawab soalan-soalan dengan tergopoh-gapah. Sebaliknya jawablah dengan tenang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan yang anda beri itu hendaklah tepat. Jangan bercakap panjang lebar, dan jangan gunakan bahasa kasar.
  9. Apabila bercakap pandanglah ke muka penemuduga itu. Jika ahli-ahli panel yang menemuduga itu lebih daripada seorang maka arahkan jawapan-jawapan anda kepada Ketua Panel.
  10. Gunakan perkataan seperti Tuan atau Puan pada orang yang tertentu dari masa ke semasa, tetapi janganlah selalu menggunakannya.
  11. Jangan menyampuk semasa penemuduga itu sedang bercakap dan jangan sekali-kali berbalah dengannya.
  12. Jangan merokok ataupun mengunyah apa-apa di dalam mulut.
  13. Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang tidak benar semasa dalam temuduga.
  14. Jika anda tidak tahu jawapan yang disoal itu, janganlah cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja, kerana ini akan melemahkan peluang anda. Eloklah anda bercakap terus terang yang anda tidak tahu jawapannya.
  15. Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga anda, persekolahan, kegemaran dan aktiviti anda. Jangan bercakap melebihi dan yang tidak sepatutnya.
  16. Jangan berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
  17. Jika anda pernah bekerja dahulu, berilah keterangan dengan ringkas dan tepat berkenaan dengan pekerjaan itu.
  18. Jangan sekali-kali anda cuba hendak mencela bekas majikan anda.
  19. Nyatakan kelayakan dan kelulusan anda yang benar, tetapi janganlah membesar-besarkan perkara itu.
  20. Anda hendaklah mengetahui serba sedikit akan tugas-tugas yang bersabit dengan pekerjaan itu, masa yang dijangka kena bekerja dan gajinya yang akan dibayar pada permulaannya.
  21. Bersedialah untuk memberitahu kadar gaji yang anda ingin. Walau bagaimanapun biarlah penemuduga itu mengemukakan perkara itu terlebih dahulu.
  22. Jika penemuduga tidak menyatakan tarikh yang sepatutnya anda mengetahui keputusan temuduga itu, eloklah anda bertanya supaya anda boleh datang lagi ke pejabatnya untuk mengetahui keputusan itu. Jika ia bersetuju tanyakan tarikh dan masa yang sesuai baginya.
  23. Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
  24. Ucapkan terima kasih kepada penemuduga kerana memberi peluang kepada anda menyertai temuduga itu.

Jom kita lihat bagaimana video menghadapi temuduga :



Mengurus Kerjaya Anda

Graduan! Anda menganggur? Atau, bekerja tetapi tidak  seperti apa yang anda pelajari? Atau, anda rasa boleh mendapatkan kerja yang lebih baik?


Menganggur atau membuat kerja yang tidak sepadan dengan kelulusan adalah satu isu semasa yang melanda semua lapisan masyarakat terutama golongan graduan. Sekarang ini, terdapat lebih kurang 60,000 graduan yang menganggur.dan bilangan ini dijangkakan akan meningkat pada setiap tahun.


Mengapa di negara kita masih menghadapi masalah ini sedangkan negara kitasedang rancak membangun.  Adakah ini kesilapan pengurusan industry pendidikan? Atau mungkin kesilapan pelajar dalam membuat pemilihan jurusan? Atau adakah kesilapan ibubapa dalam membuat pilihan pendidikan untuk masa hadapan bagi anak-anak mereka? Di manakah kesilapannya?


Malangnya tiada jawapan mudah bagi persoalan di atas, tetapi kita harus memberikan perspektif kepada isu ini agar kita (graduan) dapat membantu diri sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.  Jangalah mengharap pada jampi atau serapah yang akan dapat merubah diri anda atau menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata.  Ingatlah, bahawa ini semua adalah permulaan bagi kita dalam mengatur kerjaya dengan mengambil langkah mencari penyelesaian. Ingat "Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama".


Salah Tanggapan Pertama: "Saya mesti ada pekerjaan."


Adakah kita inginkan pekerjaan ataupun memerlukan pendapatan?  Robert Kiyosaki, seorang penulis buku  kewangan peribadi dan cara membina kekayaan, di dalam salah satu bukunya ada bertanyakan "Apakah yang lebih penting, mempunyai pekerjaan atau pendapatan?"


Jika kita mencari pekerjaan, maka pilihan kita menjadi terhad. Tetapi sekiranya kita inginkan pendapatan, terdapat banyak perkara / benda yang boleh kita lakukan untuk mendapatkan pendapatan.


Salah Tanggapan Kedua: "Saya mesti bekerja dalam bidang yang saya pelajari. Jika tidak, buang masa sahaja bertahun-tahun belajar."


Semasa saya belajar di Amerika Syarikat, saya telah berkenalan dengan seorang pelajar dari negara kita.  Beliau mengambil jurusan Kejuruteraan Awam.  Beliau juga sudah berumur dan juga seorang yang matang.  Saya pernah bertanya beliau, pengkhususan apa yang beliau pilih dalam Kejuruteraan Awam.
Boleh teka apa yang beliau jawab?! Beliau jelaskan bahawa beliau tidak berminat dalam jurusan Kejuruteraan Awam, tetapi beliau ingin menceburi di dalam bidang fotografi.  Pada masa itu, saya juga  mempunyai fahaman, "anda buat apa yang anda pelajari".  Apabila datang seseorang memberitahu saya
sesuatu perkara yang lain dari apa yang saya pelajari, maka semakin keliru saya memikirkannya.  Oleh kerana, beliau minat mengambil gambar-gambarberbentuk senibina seperti bangunan dan jambatan, beliau berpendapat,
mempelajari Kejuruteraan Awam membolehkan beliau lebih menghayati reka bentuk bagaimana sesebuah bangunan ataupun jambatan itu dibina.  Ini membolehkan beliau mendapatkan gambar-gambar yang lebih baik dan menarik.  Semuanya itu berlaku pada tahun 1982.  Apa yang menariknya, ada sesuatu yang
membuatkan saya terfikir kata-kata beliau; pergi ke sekolah cuma senaman minda sahaja. Sama seperti senaman jasmani untuk kesihatan, jadi pergi ke sekolah satu cara minda kita bersenam.  Apa yang boleh saya katakan, beliau adalah seorang yang berpandangan jauh.



Salah Tanggapan Ketiga: "Kamu tidak perlu menyukai apa yang kamu buat /
lakukan.  Ianya cuma kerja."


Ramai graduan muda kita dalam usaha untuk mendapatkan pekerjaan untuk memperolehi pendapatan, lupa bahawa kita perlu gembira dengan kerja yang kita lakukan untuk memperolehi hasil yang terbaik.  Saya pernah terbaca dalam sebuah majalah "Ketahui apa yang terbaik yang anda suka lakukan, dan
dapatkan seseorang untuk membayar apa yang anda lakukan" – Katherine Whiteborn.


Tukang masak tersohor Malaysia, Chef Wan, bermula sebagai seorang akauntan, tetapi memilih untuk menjadi seorang tukang masak.  Saya meminati cara beliau mengajar memasak di kaca televisyen dengan cara yang bersahaja dan *spontan. * Seandainya beliau masih membuat akaun, beliau akan menjadi seorang akauntan yang dikelilingi berbagai masalah kerja.  Tetapi hari ini, beliau adalah seorang tukang masak yang bejaya dan terkenal seantero dunia dan sentiasa senyum sambil melangkah riang menuju ke bank.


Ada begitu banyak yang ingin saya catatkan berkaitan Salah Tanggapan.  Kita akan mendalami setiap satu dan bagaimana mengatasinya serta mencari jalan penyelesaiannya.


Mengenal pasti masalah adalah separuh daripada jawapan kepada jalan
penyelesaiannya.

Rujukan: http://www.mail-archive.com/sahabatinteraktif@yahoogroups.com/msg20591.html

Monday 21 November 2011

Adakah Anda tidak Pasti Kerjaya Apakah yang Sesuai dengan Kehendak dan Personaliti Anda?

Ataupun anda merasakan bahawa pekerjaan yang anda lakukan tidak serasi dengan anda dan kerjaya tersebut sebenarnya bukan yang anda impi-impikan selama ini?

Jika anda berada dalam dilema untuk memilih, UJIAN APTITUD mungkin boleh memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang sedang anda cari selama ini.

UJIAN APTITUD bertujuan untuk memberikan panduan kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya dalam karier masing-masing. UJIAN APTITUD dapat membantu anda menilai kebolehan diri anda dan seterusnya mentafsir bidang yang sesuai dengan kebolehan dan tahap pemikiran anda.

Tidak kira apa jua sebab anda mencuba UJIAN APTITUD, ujian ini akan membantu anda membuat keputusan yang lebih baik tentang masa depan karier anda dan seterusnya hala tuju hidup anda!

Sekarang ini, kita banyak mendengar cerita tentang kebanyakan remaja atau graduan yang bekerja tetapi apabila ditanya tentang pilihan mereka, mereka hanya menjawab, "Saya hanya mendapat kerja ni. Jadi, saya kerja saja dulu, lebih baik daripada tidak dapat bekerja langsung.". Fenomena ini agak menyedihkan. Sekiranya anda tidak melakukan pekerjaan yang anda minati, anda tidak mungkin berpeluang untuk mengeksploitasikan kebolehan anda. Hal ini juga satu 'pembaziran' sumber manusia dan boleh mengakibatkan rasa kekosongan dan kekecewaan pada diri anda.

Kebanyakan individu akan cenderung untuk memilih pekerjaan yang menawarkan gaji yang tinggi atau bekerja di syarikat yang lebih stabil sebagai pengisian untuk jangka masa pendek. Namun, yang membimbangkan kesannya untuk jangka masa yang panjang. Bayangkan anda terpaksa melakukan kerja yang tidak anda sukai untuk bertahun-tahun lamanya!

Terdapat dua perkara penting yang harus anda ketahui sebelum anda memilih
sesuatu kerjaya.

1. Anda harus mengenali diri anda sendiri.
2. Anda harus mengetahui peluang yang ada untuk anda di luar sana.

Kerjaya yang sesuai untuk orang lain mungkin tidak sesuai dengan diri anda. Jadi, inilah masa untuk anda membuat keputusan dengan menilai diri anda sendiri daripada segi kebolehan dan keinginan anda.


UJIAN APTITUD dapat membantu anda merancang kerjaya anda secara teratur. Semua ujian yang disediakan dapat memberikan panduan berkaitan kerjaya yang sesuai untuk anda, iaitu:

1. Mampu menyerlahkan kebolehana dan kekuatan diri anda
2. Sesuai dengan perlakuan dan cara hidup anda (personaliti)
3. Apa yang dapat merangsang pemikiran dan minat anda (motivasi)



Aspek Kebolehan
Perkara yang perlu dikenal pasti adalah mengenali diri anda yang sebenar. Anda perlu mengetahui kebolehan anda dan perkara yang dapat dilakukan untuk menggunakan kebolehan anda secara maksimum.


Sekiranya anda sedang melakukan pekerjaan yang tidak anda minati, kebolehan sebenar anda tidak dapat digunakan dengan sebaik mungkin. Hal ini mungkin menghalang majikan anda untuk mendapat gambaran yang sebenar tentang prestasi kerja anda.


Oleh itu, untuk mengenal pasti kekuatan diri anda, anda harus menjalani Ujian Kebolehan. Ujian Kebolehan ini bertujuan untuk mengenal pasti kebolehan yang tidak semestinya lahir daripada pembelajaran dan pengetahuan. Ujian yang diberi akan menguji tahap anda memahami dan menyelesaikan sesuatu perkara atau masalah dalam tugasan seharian.


Aspek Personaliti

Fitrah perlakuan manusia ialah kemampuan untuk menyesuaikan diri dalam apa-apa jua keadaan (fleksibel). Atas alasan inilah kebanyakan orang dapat melakukan kerja yang tidak disukai oleh mereka selama bertahun-tahun lamanya.


Majoriti majikan sekarang amat menitikberatkan kesesuaian peribadi pekerja dengan tugasan yang akan dilakukan. Oleh itu, banyak syarikat memerlukan anda untuk membuat ujian penilaian dahulu sebelum memulakan temu duga kerana perkara ini sediki sebanyak dapat memberikan gambaran yang sebenar tentang diri anda sama ada terdapat kesesuaian atau tidak dengan jawatan yang ditawarkan.


Jika seseorang pekerja itu tidak berminat akan kerja yang dilakukan, secara tidak langsung, produktiviti syarikat akan terjejas. Oleh itu, keserasian personaliti seseorang pekerja dan tugas amat penting.


Ujian Personaliti akan menganalisa pemikiran, perasaan dan perlakuan anda. Dengan itu, anda harus menjawab semua soalan dengan jujur dan fikiran yang terbuka untuk mendapatkan takrifan yang tepat tentang personaliti anda.


Ujian Personaliti adalah berbeza dengan Ujian Kebolehan kerana tiada jawapan yang betul atau salah. Apapun jawapan yang anda berikan adalah datang dari dalam diri anda sendiri. Takrifan daripada keputusan ujian akan memberi anda panduan tentang kerjaya yang sesuai dengan diri anda.


Aspek Motivasi

Jika anda bertanya kepada seseorang tentang perkara yang mereka minati, mereka mungkin dapat memberikan jawapan kepada anda tanpa berfikir panjang. Hakikatnya perkara itu tidak semudah yang difikirkan. Kebanyakan orang tidak pasti apa yang dapat dilakukan oleh mereka dan peluang yang ada untuk mereka. Sesetengah individu mengimpikan satu perkara yang tidak mungkin dicapai. Jadi, untuk
memastikan anda mencapai impian anda, anda perlu membuat Ujian Motivasi.


Ujian Motivasi akan membantu anda mengenal pasti silap anda dalam memilih cita-cita. Kebanyakan remaja mendapat motivasi daripada orang di sekeliling, mentor dan keluarga sendiri. Sebagai contoh, jika ditanya soalan yang berkaitan cita-cita kepada remaja yang ayahnya seorang doktor yang berjaya, besar
kemungkinan jawapannya adalah untuk menjadi seorang doktor. Persoalannya, adakah kerja sebagai doktor itu sesuai dengan kebolehan dan personalitinya?


Tidak kurang juga, ada yang berpendapat bahawa jika diberikan peluang, mereka dapat membuat keputusan yang lebih baik daripada seseorang ahli politik, dapat menyanyi lebih baik daripada penyanyi terkenal dan sebagainya. Namun, perkara yang paling utama sekarang adalah untuk mengetahui minat anda dan mengenal pasti sama ada minat itu dapat memberi anda kepuasan untuk jangka masa yang
panjang.


Ujian Motivasi adalah mudah. Anda hanya perlu memilih jenis pekerjaan yang anda suka lakukan daripada dua pilihan. Anda juga harus membayangkan pekerjaan itu dan bertanya pada diri anda sendiri sama ada tugasan yang perlu dilakukan bersesuaian dengan jiwa anda.


Jika semua aspek tentang perkara ini digabungkan, ini dapat memberikan gambaran tentang sejauh mana anda akan berjaya dalam sesuatu bidang sekiranya anda berusaha dengan gigih.

Adakah wujud faktor-faktor yang tidak dapat diukur?

Jawapannya, ya. Pertama, ada beberapa jenis pekerjaan yang memerlukan ciri-ciri fizikal yang mungkin tiada dalam diri anda. Kedua, halangan daripada segi kelayakan akademik. Jika minat anda menjurus kepada bidang perubatan, tetapi anda tidak mempunyai kelayakan akademik untuk menjadi seorang doktor ataupun jururawat, sudah tentu amat sukar untuk merealisasikan impian anda.


Jadi, UJIAN APTITUD hanyalah sebagai panduan untuk anda mengenal pasti kebolehan anda untuk disesuaikan dengan kerjaya yang anda minati. Ujian ini juga dapat membantu anda membuat keputusan sama ada kerjaya anda sekarang sesuai atau tidak dengan diri anda.


Terdapat tiga set ujian, iaitu:

Ujian Kebolehan - Ujian 1 hingga Ujian 7

Ujian Personaliti - Bahagian 1 dan 2

Ujian Motivasi - Bahagian 1


Anda harus menjawab kesemua soalan yang dikemukakan untuk mendapat penilaian yang sebenar tentang kebolehan, personaliti dan motivasi yang anda miliki.
Selamat mencuba!


Rujukan: http://www.mail-archive.com/sahabatinteraktif@yahoogroups.com/msg36840.html