Wednesday, 23 November 2011

jom bercerita!!!


JANGAN SIA-SIAKAN BAKAT SAUDARA

KISAH SI UNTA
Terdapat dua unta sedang berehat. Ibu unta dan anaknya. Sejak daripada pagi lagi wajah anak si unta kelihatan muram. Melihat anaknya yang kelihatan sugul, si ibu unta pun bertanya kepada  anaknya,
“ Anakku, ibu lihat kamu kelihatan sedih sahaja. Apa yang mengganggu fikiranmu? Adakah masalah matematik yang tidak dapat diselesaikan ataupun kamu ditinggalkan oleh teman wanita?”
“ Bukan itu sebabnya ibu. Saya sedang berfikir beberapa soalan. Persoalan ini mengganggu fikiran saya sejak sekian lama, “ balas anak unta itu.
“ Sebutlah, mungkin ibu ada jawapan bagi persoalan yang tidak terjawab itu,” kata si ibu unta mahu membantu.
“ Begini ibu, saya hairan. Apakah kegunaan bonggol pada badan kita ini,” Tanya anak unta.
“ Itu mudah sahaja anakku. Bonggol di atas badan kita digunakan bagi mengisi air. Dengan bonggol ini kita dapat bertahan lebih lama di gurun tanpa air berbanding makhluk lain,” kata ibu si unta dengan bangga.
“Bagaimana pula dengan kaki kita yang kurus dan panjang ini?”
“ Kaki kita yang kurus dan panjang ini banyak kelebihannnya. Dengan kaki ini kita dapat berjalan dengan lebih mudah di padang pasir.”
“ Mengapa kita mempunyai bulu mata yang panjang dan tebal?”
“Bukankah di padang pasir angin bertiup kencang. Bulu mata yang panjang dan tebal ini bagi mengelakkan pasir daripada masuk ke dalam mata,” jelas si ibu unta dengan bangga sambil mengerlip matanya berulang-kali.
“Baru saya faham. Bonggol kita digunakan bagi menyimpan air ketika  di padang pasir. Kaki kita yang panjang dan kurus pula memudahkan pergerakan kita di padang pasir. Manakala bulu mata kita yang panjang dan tebal pula bagi mengelakkan pasir daripada masuk  ke mata ketika  di padang pasir. Persoalannya, mengapa kita berada di zoo?”

Moral yang terdapat dalam cerita ini sungguh menarik. Kelebihan yang ada belum tentu menjamin kejayaan.  Contohnya daripada kisah ini, walaupun si ibu unta begitu bangga dengan kelebihan yang terdapat pada diri mereka, namun begitu kelebihan itu tidak berguna sahaja kerana mereka hidup di zoo dan  bukan  di padang pasir. Kelebihan yang ada tidak dapat digunakan.
Bayangkan saudara bekerja sebagai pemotong pokok kayu balak. Saudara mempunyai gergaji yang canggih, tetapi jika saudara tidak menggunakannya dan sebaliknya sekadar menggunakan kapak, maka gergaji canggih itu menjadi sia-sia sahaja. Kelebihan yang ada perlu digunakan dengan sebaiknya.
Paling penting, bakat yang ada pada kita. Walaupun saudara dilahirkan berbakat seperti Michaelangelo ataupun Picasso, tetapi jika ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin, tidak terhasil karya-karya agung yang bernilai jutaan ringgit jika saudara tidak mengambil berus dan melukis. 

Walaupun saudara dilahirkan dengan bakat dan kemahiran bijak mencipta sesuatu seperti  Thomas Edison, tidak ada gunanya jika saudara hanya sekadar menggoyang kaki di kerusi malas. Dengan menyedari  bakat yang ada pada saudara dan menggunakan pada jalan yang betul, maka terhasil sesuatu yang hebat.

Tiada apa yang hebat melainkan sesuatu yang hebat digunakan pada tempat sepatutnya.








No comments:

Post a Comment